Powered By Blogger

Friday, January 7, 2011

UPM Tempat Keenam GreenMetric World University Ranking 2010

                      Bangga pula rasa dihati,UPM tetap dihatiku...           



 SERDANG, 3 Jan – Universiti Putra Malaysia (UPM) menduduki tangga keenam antara 95 universiti di dunia yang menyertai penarafan GreenMetric World University Ranking 2010 (Green Metric) anjuran Universitas Indonesia baru-baru ini.

UPM merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi dari Asia yang berjaya menempatkan diri di kalangan 10 universiti terbaik dunia berdasarkan kecemerlangan universiti itu dalam mempromosi kelestarian melalui usaha pemeliharaan alam sekitar dan teknologi hijau.

Penarafan itu mengambil kira komitmen dan usaha UPM untuk memastikan kelestarian dan kehijauan kampus serta alam sekitarnya seperti saiz dan infrastruktur keluasan kawasan hijau serta keefisienan penggunaan tenaga di kampus.

Selain itu ia turut mengambil kira pengadaptasian teknologi hijau, penguatkuasaan polisi lestari serta pengurusan kenderaan dan pengurusan bahan buangan di kawasan kampus.

University of California, Berkeley mengungguli kedudukan pertama, disusuli University of Nottingham United Kingdom pada tempat kedua, York University, Canada di tempat ke tiga sementara tuan rumah, Universitas Indonesia menduduki tempat ke 15.

Antara inisiatif hijau yang dijalankan di UPM ialah program mega tahunan seperti aktiviti penanaman pokok dengan usahasama Mitsubishi Corporation dan program Recycling Rally yang diadakan untuk menggalakkan aktiviti kitar semula dalam kalangan warga kampus.

Jawatankuasa Greenmetric UPM melibatkan usahasama Pejabat Pemasaran dan Komunikasi UPM dan Bahagian Perancangan Korporat UPM dengan disokong oleh Fakulti Pengajian Alam Sekitar UPM, Fakulti Perhutanan UPM dan Pejabat Pembangunan UPM.

Maklumat lanjut berkenaan kedudukan Universiti-universiti dunia dan penarafan UI GreenMetric World University Ranking boleh didapati di laman web penarafan tersebut iaitu http://greenmetric.ui.ac.id/id/page/ranking.
Berita ini disediakan oleh Seksyen Media, Bahagian Komunikasi Korporat (Mohd. Martin Abdul Kahar), 03-89466013 dan Bahagian Perancangan Korporat (Lt. Muda Mohd Firdaus Bin Zakaria) , 03-8946 6020.

No comments:

Post a Comment